Sunday

Satu Hari, Seribu Langkah, Sebuah Kisah. (Bahagian Kedua)

Apabila keluar kami berehat sebentar di bawah pokok dan mengatur perjalanan seterusnya. Kami makan tengah hari di Burger King. Jam 3.30 petang, kami menunaikan solat Zuhur. Kemudian kami ke kedai buku Times dan Kinokuniya. Setelah puas membelek-belek buku kami turun ke bawah untuk melihat filem-filem baru yang ditayangkan. Apabila Amir hendak turun ke bawah untuk berjumpa kawannya, kami terserempak dengan Hareez dan kawannya di Coffee Bean. Hareez mengenalkan kawannya, Beha, kepada kami. Setelah berborak seketika kami meminta diri dan meneruskan langkah kami untuk ke bawah. Tiba di bawah, Ecan dan Pesot memilih untuk keluar dan berehat di luar. Saya menemani Amir untuk berjumpa kawannya di hadapan Vincci. Amir memperkenalkan Arni kepada saya. Mereka berbual seketika dan Arni meminta agar Amir tidak balik dahulu kerana ingin berbual panjang dengannya. Kami naik ke atas dan berjumpa dengan Ecan dan Pesot yang sedang berehat di luar KLCC.

Kami berbincang seketika untuk mengatur langkah seterusnya. Saya mencadangkan untuk balik tetapi Amir ingin berjumpa Arni dan Ecan ingin menikmati pemandangan malam. Akhirnya kami sepakat mengatur rancangan. Amir berjumpa Arni sementara saya, Pesot dan Ecan berehat di masjid berdekatan. Kami meninggalkan Amir dan melangkah menuju masjid.

Setibanya kami dimasjid, jam menunjukkan pukul 5 petang. Ecan ingin melelapkan mata seketika. Saya menunaikan solat Asar dahulu sementara Pesot mengawasi kasut kami. Setelah itu giliran saya pula untuk mengawasi kasut dan Pesot solat Asar. Selesai solat kami duduk dimasjid berbual dan memerhati keadaan sekeliling sementara Ecan merehatkan badannya.

Kira-kira pukul 6.30 petang guruh mula berbunyi di langit. Saya meminta Pesot megejutkan Ecan kerana kami harus bergerak ke KLCC sebelum hujan. Dalam pada masa yang sama Amir bertanyakan kami berada di mana kerana dia telah selesai berjumpa dengan Arni. Kami bertemu semula di KLCC dan bertolak ke Pasar Seni.

Setibanya kami di Pasar Seni, kami berjalan-jalan dan melihat potret di sana. Kami singgah sebentar di sebuah kedai buku yang menawarkan khidmat sewa beli. Kami membandingkan harga buku di sini dan di Kinokuniya. Jauh lebih murah di sini. Kami sangat teruja! Kami keluar dan melihat kedai lukisan di luar.
Kami beramah mesra dengan seorang pelukis yang kemudiannya menghadiahkan kami dengan seribu nasihat, satu teladan dan seribu pengajaran tentang hidup. Kami sangat kagum dengan beliau. Beliau menceritakan pengalaman beliau selama 21 tahun berkecimpung dalam dunia seni. Beliau bermula dengan sifar kini boleh melukis dengan mahir dan hasil kerja beliau seolah-olah hidup. Beliau meyuruh kami meneka harga lukisan yang belaiu hasilkan. Kerana tekaan Ecan agak tepat dan kami sepakat mengikut tekaan Ecan, kami disuruh memilih satu poskad setiap seorang sebagai hadiah dan kenangan sebelum kami beredar. Kami solat Maghrib dan Isya’ di Pasar Seni. Suraunya berada di bumbung. Satu pemandangan matahari terbenam yang belum pernah saya alami.

Setelah selesai solat Isya’ kami turun ke bawah dan keluar dari Pasar Seni. Kami makan malam di kedai seberang jalan dari Pasar Seni. Setelah memesan makanan kami berbual-bual tentang pelukis tadi. Kami mengagumi beliau. Apabila makanan Ecan dan Amir sampai, hujan mula turun dengan lebat di luar. Seorang pelancong yang kelihatan seperti Cina berlari masuk ke dalam kedai. Beliau berdiri dekat dengan kami. Apabila pelayan kedai bertanya kepadanya hendak memesan makanan apa, beliau menunding jari kearah makanan Ecan dan mengatakan ingin memesan makanan yang sama. Pelayan kedai itu tersenyum dan memberitahu beliau nama makanan tersebut dalam bahasa Melayu.

Pada mulanya kami hanya tersenyum melihat beliau. Beliau memilih tempat duduk di belakang kami. Kami merasa tertarik untuk mengenali beliau kerana kami tahu beliau bukan rakyat Malaysia tetapi kami seperti mendengar beliau bertutur dalam bahasa Melayu. Andaian kami, beliau mungkin pelancong dari Singapura. Pesot menyuruh Ecan mengajak beliau untuk duduk bersama kami. Ecan menegurnya dan kami mempersilakan beliau untuk duduk bersama kami. Ternyata riak wajah beliau begitu gembira. Dengan senang hati beliau duduk di sebelah Ecan.

Kami berbual-bual sambil menikmati makan malam. Ternyata andaian kami meleset sama sekali. Beliau adalah seorang pelancong dari Carlifonia, namun beliau berketurunan Cina. Beliau fasih bertutur dalam 5 bahasa termasuk bahasa Indonesia. Kami sangat kagum dengan kesungguhan yang ditunjukan beliau. Beliau cuba untuk berkomunikasi dengan kami dalam bahasa Melayu. Kami bertukar-tukar pendapat dan beliau kelihatan begitu tertarik untuk mempelajari lebih banyak tentang Malaysia dan Tanah Melayu. Malangnya waktu berjalan begitu pantas. Jam menunjukkan hampir ke pukul 11 malam. Hujan yang tadinya lebat kini mula reda. Kami meminta diri selepas kami bertukar-tukar “e-mail addres” dan Ecan menyatakan bahawa beliau ialah seperti “The Alchemist”(sebuah novel karya Paulo Coelho).

Kami melangkah keluar dari kedai makan itu dengan perasaan yang gembira. Tidak sia-sia perjalanan kami hari ini. Kami terus mempercepatkan langkah untuk ke stesen komuter yang berdekatan. Dalam perjalanan balik, Pesot, Amir dan Ecan tidak berhenti-henti berbual tentang rakan baru kami. Selepas tiba di stesen komuter Serdang, kami menaiki kereta dan terus menghantar Ecan pulang. Setelah itu, saya menghantar Pesot dan Amir dan terus pulang ke bilik. Saya tiba dibilik kira-kira jam 11.45 malam. Walau pun kaki terasa sakit tetapi hati terasa puas. Satu hari yang penuh dengan seribu langkah menceritakan sebuah kisah.

Monday

Satu Hari, Seribu Langkah, Sebuah Kisah. (Bahagian Pertama)

Wow…! Ini adalah kali pertama saya berasa begitu bersemangat untuk menulis post tetapi tidak tahu bagaimana harus saya mulakan. Sungguh! Hari yang begitu indah! Tidak ada kata-kata dapat menggambarkan perasaan saya sekarang ini.

Bermulanya hari saya apabila saya tidak dapat tidur semalaman kerana Nescafe. Jadi saya habiskan masa saya dari pukul 4 pagi hingga pukul 6 pagi dengan menulis post terdahulu dan melihat ‘coding’ blog kawan saya. Selepas jam berbunyi menandakan pukul 6 pagi, saya mandi dan solat subuh. Setelah itu saya pun bersiap-siap untuk pergi ke Pameran Zaman Kegemilangan Sains dan Tamadun Islam di KLCC Konvensyen Centre.

Sepatutnya perjalanan kami bermula seawal jam 8 pagi dengan aturcara Ecan mengambil Pesot dan saya untuk sama-sama ke komuter Serdang. Tetapi kerana sedikit masalah yang tak dapat dielakkan, Ecan tidak dapat bertolak pergi bersama kami. Sewaktu saya mengunci rumah, Amir menelefon dan bertanya sama ada kami sudah bertolak atau belum. Oleh kerana kami belum bertolak jadi Amir datang ke Cendikiawan dan saya juga ke sana dengan kereta untuk mengambil Amir dan Pesot.

Lebih kurang jam 8.30 pagi kami sampai distesen komuter Serdang. Nasib kami agak baik pagi ini kerana selesai membeli tiket “train” pun sampai. Kami ke K.L Central dahulu kerana Najwan masih tidak dapat dihubungi. Sampai di sana, kami cuba sekali lagi untuk menghubungi Najwan tetapi masih gagal.

Oleh kerana gagal untuk menghubungi Najwan, kami bertiga mengambil keputusan untuk pergi bersarapan pagi di Kampung Baru. Kami tiba di Kampung Baru lebih kurang pukul 10 pagi. Selesai sarapan pagi kami berbual-bual dan membaca surat khabar yang dibeli Amir di K.L Central. Pesot menghubungi dan mengajak kawan lamanya bertemu disitu.

Kami terus berbual-bual dan membaca akhbar sambil menunggu kawan Pesot. Apabila kawan Pesot sampai, Pesot mengenalkan dia kepada kami. Namanya Cip. Dia ialah seorang penuntut di U.K.M. Kami berbual-bual sambil Pesot dan Cip mengibau kembali zaman silam mereka. Dalam pada masa yang sama Ecan menghubungi Pesot dan kami mengatur temu janji untuk berjumpa di KLCC. Setelah hampir jam 12 tengah hari kami mengucapkan selamat tinggal kepada Cip dan betolak ke KLCC.


Tiba di KLCC kami terus mencari Ecan. Setelah berjumpa kami terus mencari tempat pameran diadakan. Kami berjalan menuju ker KLCC Konvensyen Center. Ternyata ramai orang yang berminat untuk menyaksikan pameran ini. Kami terpaksa beratur selama lebih kurang 15 minit sebelum masuk ke dewan pameran. Semasa beratur sempat kami berama-mesra dengan seorang kakak urusetia yang bertugas.

Apabila kami melangkah masuk ke dewan pameran, perkara pertama yang kami lihat ialah bibliografi tokoh yang mengkaji dan menemukan semula semua peralatan-peralatan ciptaan cerdik pandai Islam dizaman kegemilangannya. Setelah selesai membaca bibliografi beliau, seorang petugas disitu memberitahu kami bahawa terdapat sebuah buku yang dijual mengandungi semua 80 bahan pameran dan penerangan tentangnya. Petugas itu juga memberitahu bahawa, selesai pameran ini, semua bahan pameran akan ditempatkan di muzium Istanbul. Maka bermulalah langkah kami didalam dewan pameran. Dewan terlalu sesak dengan orang ramai. Banyak benda pelik yang kami temui dan pelajari. Tetapi secara peribadi saya agak terkilan kerana setiap barang pameran tidak disertakan dengan cara untuk mengendali atau menggunakan barang tersebut. Kami berada dalam dewan hampir 2 jam lebih. Setelah puas melihat kami mengambil keputusan untuk keluar.


(oleh kerana "post" ini terlalu panjang,kisah perjalanan seterusnya akan di"post" dalam bahagian kedua)

Sunday

Undi dan Politik.

Sebagai rakyat Malaysia, kita dikira layak untuk mengundi apabila berumur 21 tahun. Jika dilihat dari anggaran kasar, rata-rata rakyat yang berumur 21 tahun masih lagi menjadi penuntut di Institusi Pengajian Tinggi. Pada masa yang sama, pelajar juga dilarang untuk telibat dalam bidang politik. Persoalannya, relevankah peraturan ini???

Apa yang terjadi ialah kita diminta untuk mengundi satu parti politik tetapi tidak boleh terlibat dalam apa jua kegiatan termasuk perhimpunan semua parti politik. Bagaimana untuk kita membuat pilihan tanpa mengenali siapa yang harus dipilih??? Adakah kita digesa untuk membuat pilihan dengan membabi buta??? Bagaimana untuk kita membuat penentuan siapa antara calon yang sesuai untuk dijadikan pemimpin???

Saya agak kurang bersetuju dengan peraturan yang mencegah pelajar dari terlibat dalam kegiatan politik. Jika dinilai, peraturan ini seperti mengikat tangan dan menutup mulut kita untuk menyuarakan pendapat dan menghalang kita untuk mengenali dengan lebih dekat siapa bakal pemimpin kita. Secara tidak langsung, ia juga merampas hak asasi kita sebagai manusia.

Mungkin ada di antara kita yang berpendapat, cukup bagi seorang pelajar menilai seseorang pemimpin dari media massa. Tetapi, sejauh manakah kredibiliti media massa tempatan hari ini??? Adakah semua yang disuap ke minda kita itu benar dan tulus tanpa ada yang memesong atau dipesongkan??? Adakah media tempatan hari ini tidak bersikap berat sebelah (bias) terhadap mana-mana parti politik???

Kepada sesiapa yang membaca “post” ini, saya harap anda dapat berkongsi pendapat dengan saya tentang isu ini. Saya sebenarnya agak keliru dengan peraturan yang telah digariskan oleh pihak berkuasa. Tolong saya fahami apa sebenarnya yang tersirat disebalik peraturan-peraturan yang telah digariskan.

Saturday

Melayu Melayukan Melayu!

Sukar untuk di percayai tapi inilah apa yang terjadi di Malaysia hari ini. Wujudnya satu golongan orang Melayu yang hobinya melayukan orang Melayu sendiri. Sedih, memang amat menyedihkan.

Jika berabad dahulu kita dilihat sebagai satu bangsa yang sangat beradab dan sangat disanjung tinggi di mata dunia, kini kita hanya menjadi bahan gelak bangsa-bangsa lain. Kebodohan dan rasa hasad dengki yang wujud dalam diri kita menjadi punca kepada semua ini.

Perkara ini terjadi kepada seorang sahabat saya sendiri. Saya amat terkilan dengan tindakan orang yang melayukan Melayu itu. Apa yang beliau dapat dengan berbuat begitu saya tidak nampak, tapi yang pastinya, apa yang beliau tidak dapat dengan berbuat begitu amat jelas.

Melayu yang suka melayukan Melayu adalah ibarat “gunting dalam lipatan” dan “duri dalam daging”. Perbuatan seperti ini hanya menjadi penghalang untuk bangsa kita dari terus maju. Menikam seseorang itu dari belakang adalah satu perbuatan kejam dan sangat hina.

Sedarlah wahai orang Melayu, sekiranya perkara ini berterusan, maka generasi yang bakal lahir hanyalah generasi yang berpecah-belah dan memusuhi sesama sendiri.

(saya terpaksa meng-edit entry ini atas dasar-dasar keselamatan)

Friday

Srikandi Cintaku

Perutusan berdarah ku terima
Gugur kuntum di tengah halaman
Medan ini kurasakan sepi
Terpaku pilu

Ku semaikan pepohon kemboja
Yang bunganya adalah hati ku
Semadilah dalam kedamaian
Semangatku tetap bersamamu

Kan kuusung oh! jenazah cinta
Semadikan nisan kasih suci
Semangatmu tetap bersamaku
Selama pasti

Debu malam meragut kenangan
Menyedarkan dari lamunanku
Percintaan dalam perjuangan
Kau abadi Srikandi Cintaku

~petikan dari lagu M.Nasir bertajuk Srikandi Cintaku~

Wednesday

Tidak Boleh Atau Tidak Mahu???


Aku terfikir dalam hidup ini wujudkah ungkapan tidak boleh? Atau sebagai manusia kita hanya mengungkapkan kata-kata itu sebab kita tidak mahu untuk membuat sesuatu yang kita tidak suka. Sebagai contoh dialog yang sangat biasa kita dengar “I tak boleh lupekan you”, sebenarnya alasan disebalik tidak boleh adalah kita langsung tidak mahu melupakan seseorang itu.
Memang benar sebagai manusia kebolehan kita terbatas tapi kebanyakan manusia hari ini lebih gemar menggunakan frasa tidak boleh kerana tidak mahu. Tidak boleh hanyalah alasan yang mudah untuk melepaskan diri dari dipaksa melakukan sesuatu yang kurang digemari.
Persoalan ini membuat kan aku merenung hidup aku lebih jauh. Jauh ke hadapan dan juga ke belakang. Berapa banyak kali alasan tidak boleh telah aku gunakan dalam hidup aku semata-mata untuk mengelak? Dan jawapan yang aku perolehi, sangat banyak. Sejauh mana alasan ini akan aku pakai dalam hayat ku? Sebolehnya aku tak mahu menggunakan alasan ini lagi. Aku akan cuba untuk berterus terang pada diri aku dan juga orang di sekeliling aku. Sekiranya aku tidak mahu maka akan ku katakan aku tidak mahu.
Di zaman aku kanak-kanak dahulu, ayah aku pernah bercerita kepada ku tentang budaya masyarakat Jepun, dan masih segar dalam ingatan ku. Kata ayah, “orang Jepun, seandainya disuruh buat sesuatu kerja, dia takkan jawab tidak boleh, tapi jawapan yang dia akan bagi ialah saya cuba”. Mungkin inilah yang membuatkan kita ketinggalan dari mereka.
Selepas ini aku harap ungkapan tidak boleh dalam erti kata untuk mengelak melakukan sesuatu tidak lagi aku gunakan. Aku akan cuba sedaya upaya untuk menjawab “saya akan cuba”.

Tuesday

Buat Mu Umi Ku

Kau bukan bintang yang bersinar,
Kau bukan bulan yang mengambang,
Kau bukan mentari yang menyinar,
Kau bukan hujan yang menyejukkan,
Tapi kau membawa harapan,
Kau memberi kekuatan.

Sekilas senyummu membawa bahagia,
Seredup pandangmu menenangkan jiwa.

Seandainya ku bisa,
Akan ku abadikan wajahmu di kaki langit,
Akan ku selami hatimu,
Agar ku bisa buat kau tersenyum.

Maafkan ku seandainya ku melukaimu,
Membuat kau derita hidup dalam air mata,

Kaulah kekuatanku,
Kaulah kehidupanku,
Kaulah kebahagiaanku,
Kaulah segala-galanya untukku,
Tanpamu siapalah aku.

Oh…ibu.

Untuk Sesiapa Yang Putus Cinta(Buat Yang Tersayang-tajuk asal dia)

Indahnya hidup bersama mu
Ceria…
Bagaikan pelangi

Kau mewarnai dunia ku
Hanya dengan kata-kata mu

Namun itu semua
Hanya untuk sementara waktu
Bila ku sedar hakikat ini
Pedihnya ku rasakan

Tiada kata-kata yang dapat ku ucapkan
Tiada air mata yang dapat ku alirkan
Kerna aku telah lelah

Lelah dengan permainan hatiku
Tidak aku menyalahkan mu
Mana mungkin aku menyalahkan mu
Kerna aku menyayangi mu

Ku terima hakikat memedihkan ini
Ku harungi setabah mungkin

Namun satu ku pinta dari mu
Pergilah…
Pergilah kau dari hidup ku

Kembalikan hidup ku seperti dahulu
Tiada harapan…
Tiada perjuangan…
Namun penuh kepastian

Padamkan pelangi indah itu
Kerna ia…
Tak mungkin akan menjadi milik ku
Terlalu jauh untuk ku gapai
Terlalu indah untuk dinikmati

Pelangi itu,
Hanya impian
Impian yang sia-sia hanya

Pergilah kau dari hidupku


Akan ku tabahkan hati ini
Menempuh perjalann hidup
Bersisakan kekuatan yang tinggal
Walau sekelumit hanya
Namun ku pasti

Saturday

Renungan 2006

Berakhir sudah tahun 2006 yang penuh dgn cabaran. Segala pahit dan manis pejalanan kehidupan kini menjadi kenangan. Satu lagi tahun yang bejaya kuharungi dengan seribu rasa. Namun aku bersyukur kepada Illahi kerana memanjangkan hayatku untuk terus melangkah. Bila ku renung kembali perjalanan hidupku, aku selah-olah tersedar dari mimpi. Jauh sudah ku melangkah dalam kehidupan ini. Banyak yang telah aku lalui, banyak juga telah ku pelajari. Kesilapan demi kesilapan yang ku lakukan, tekad demi tekad yang ku tanamkan dalam diri, semuanya berputar kembali. Ada penyesalan dihati namun ku ambil sebagai pengajaran. Ada kenangan yang indah, ku simpan sebagai bekalan kekuatan untuk perjalanan ku yang masih jauh. Kepada sahabat yang setia menemani, jutaan terima kasih kuucapkan. Andainya ada kekhilafan diri yang menyakitkan mu wahai sahabat, ku mohon maaf dunia dan akhirat. Ku mohon pada mu wahai sahabat teruslah kau menemani ku melangkah bersama dalam perjalanan ini. Bersama kita berjuang bersama kita berlari. Andainya ada yang kecundang akan ku hulurkan tangan untuk membantu. Harapanku, agar kau juga melakukan yang begitu seandainya aku kecundang ditengah jalan.
Name:

I am just being myself. Sometimes it can hurt someone and if this happen to you, I am sorry. I never meant to hurt anyone. But this is my journey and this is how i choose to go through it. It helps me to be a better person. I found my path, and I choose to go through no matter what. I knew the starting point and the end of this journey but I want to write something in between. Something nice, something beautiful. So I write them with my tears and pain. And I decorate them with my joy and laughter. Together they've become my memories. The one thing that you can never steal from me. The one thing that is eternally mine. The one thing that makes me ME.

Powered by Blogger