Satu Hari, Seribu Langkah, Sebuah Kisah. (Bahagian Kedua)
Kami berbincang seketika untuk mengatur langkah seterusnya. Saya mencadangkan untuk balik tetapi Amir ingin berjumpa Arni dan Ecan ingin menikmati pemandangan malam. Akhirnya kami sepakat mengatur rancangan. Amir berjumpa Arni sementara saya, Pesot dan Ecan berehat di masjid berdekatan. Kami meninggalkan Amir dan melangkah menuju masjid.
Setibanya kami dimasjid, jam menunjukkan pukul 5 petang. Ecan ingin melelapkan mata seketika. Saya menunaikan solat Asar dahulu sementara Pesot mengawasi kasut kami. Setelah itu giliran saya pula untuk mengawasi kasut dan Pesot solat Asar. Selesai solat kami duduk dimasjid berbual dan memerhati keadaan sekeliling sementara Ecan merehatkan badannya.
Kira-kira pukul 6.30 petang guruh mula berbunyi di langit. Saya meminta Pesot megejutkan Ecan kerana kami harus bergerak ke KLCC sebelum hujan. Dalam pada masa yang sama Amir bertanyakan kami berada di mana kerana dia telah selesai berjumpa dengan Arni. Kami bertemu semula di KLCC dan bertolak ke Pasar Seni.
Setibanya kami di Pasar Seni, kami berjalan-jalan dan melihat potret di sana. Kami singgah sebentar di sebuah kedai buku yang menawarkan khidmat sewa beli. Kami membandingkan harga buku di sini dan di Kinokuniya. Jauh lebih murah di sini. Kami sangat teruja! Kami keluar dan melihat kedai lukisan di luar.
Kami beramah mesra dengan seorang pelukis yang kemudiannya menghadiahkan kami dengan seribu nasihat, satu teladan dan seribu pengajaran tentang hidup. Kami sangat kagum dengan beliau. Beliau menceritakan pengalaman beliau selama 21 tahun berkecimpung dalam dunia seni. Beliau bermula dengan sifar kini boleh melukis dengan mahir dan hasil kerja beliau seolah-olah hidup. Beliau meyuruh kami meneka harga lukisan yang belaiu hasilkan. Kerana tekaan Ecan agak tepat dan kami sepakat mengikut tekaan Ecan, kami disuruh memilih satu poskad setiap seorang sebagai hadiah dan kenangan sebelum kami beredar. Kami solat Maghrib dan Isya’ di Pasar Seni. Suraunya berada di bumbung. Satu pemandangan matahari terbenam yang belum pernah saya alami.
Setelah selesai solat Isya’ kami turun ke bawah dan keluar dari Pasar Seni. Kami makan malam di kedai seberang jalan dari Pasar Seni. Setelah memesan makanan kami berbual-bual tentang pelukis tadi. Kami mengagumi beliau. Apabila makanan Ecan dan Amir sampai, hujan mula turun dengan lebat di luar. Seorang pelancong yang kelihatan seperti Cina berlari masuk ke dalam kedai. Beliau berdiri dekat dengan kami. Apabila pelayan kedai bertanya kepadanya hendak memesan makanan apa, beliau menunding jari kearah makanan Ecan dan mengatakan ingin memesan makanan yang sama. Pelayan kedai itu tersenyum dan memberitahu beliau nama makanan tersebut dalam bahasa Melayu.
Pada mulanya kami hanya tersenyum melihat beliau. Beliau memilih tempat duduk di belakang kami. Kami merasa tertarik untuk mengenali beliau kerana kami tahu beliau bukan rakyat Malaysia tetapi kami seperti mendengar beliau bertutur dalam bahasa Melayu. Andaian kami, beliau mungkin pelancong dari Singapura. Pesot menyuruh Ecan mengajak beliau untuk duduk bersama kami. Ecan menegurnya dan kami mempersilakan beliau untuk duduk bersama kami. Ternyata riak wajah beliau begitu gembira. Dengan senang hati beliau duduk di sebelah Ecan.
Kami berbual-bual sambil menikmati makan malam. Ternyata andaian kami meleset sama sekali. Beliau adalah seorang pelancong dari Carlifonia, namun beliau berketurunan Cina. Beliau fasih bertutur dalam 5 bahasa termasuk bahasa Indonesia. Kami sangat kagum dengan kesungguhan yang ditunjukan beliau. Beliau cuba untuk berkomunikasi dengan kami dalam bahasa Melayu. Kami bertukar-tukar pendapat dan beliau kelihatan begitu tertarik untuk mempelajari lebih banyak tentang Malaysia dan Tanah Melayu. Malangnya waktu berjalan begitu pantas. Jam menunjukkan hampir ke pukul 11 malam. Hujan yang tadinya lebat kini mula reda. Kami meminta diri selepas kami bertukar-tukar “e-mail addres” dan Ecan menyatakan bahawa beliau ialah seperti “The Alchemist”(sebuah novel karya Paulo Coelho).
Kami melangkah keluar dari kedai makan itu dengan perasaan yang gembira. Tidak sia-sia perjalanan kami hari ini. Kami terus mempercepatkan langkah untuk ke stesen komuter yang berdekatan. Dalam perjalanan balik, Pesot, Amir dan Ecan tidak berhenti-henti berbual tentang rakan baru kami. Selepas tiba di stesen komuter Serdang, kami menaiki kereta dan terus menghantar Ecan pulang. Setelah itu, saya menghantar Pesot dan Amir dan terus pulang ke bilik. Saya tiba dibilik kira-kira jam 11.45 malam. Walau pun kaki terasa sakit tetapi hati terasa puas. Satu hari yang penuh dengan seribu langkah menceritakan sebuah kisah.